Friday, March 31, 2006

Menciptakan Perbezaan~

Saat diri kita dibangunkan setiap pagi, barangkali rutin kebiasaan menuju ke bilik air itu yang utama. Diikuti dengan mencuci muka, menggosok gigi dan kemudian mandi. Mungkin juga terus bersiap untuk ke pejabat atau mengejar kuliah jam lapan tanpa sempat mandi. Memadai dengan menyembur minyak wangi sekurang-kurangnya tidak berbau pelik berbanding orang lain. Macam-macam yang dilakukan untuk menampakkan diri bersih dan cantik. Tapi entah berapa kerat yang rajin membersihkan hatinya setiap pagi ia terjaga dari tidurnya. Bukan sahaja setiap pagi, malah siang dan malam, lantas setiap waktu dalam hidupnya.
Bagaimana kita dapat mengetahui keadaan hati? Ataupun kita tidak pernah peduli akan hitam putihnya hati kita? Kerana kotornya ia bukanlah sesuatu yang terzahir dek mata yang memandang. Pernahkah anda merasa setiap detik yang berlalu terasa diri diperhatikan Allah, setiap tindakan yang diambil yang anda peduli adalah redhaNya, tetap bahagia walaupun tiada teman istimewa yang menyintai anda, kerana anda dapat merasai dekatnya Allah dan cintaNya kepada anda. Riangnya hati saat diri terhalang dari melakukan dosa kerana keterikatan hati pada Allah itu yang lebih utama.
Sukarnya mempunyai perasaan seindah ini seandainya hati yang di dalam dada sudah buta. Sepotong ayat dari Al-Quran :
Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan hati itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. - Surah Al Hajj : ayat 4-6
Bagaimana mungkin hati yang buta dapat memahami antara dosa dan pahala. Mungkin juga sekadar memahami namun tidak mampu lagi membentengi diri dari melakukan dosa. Ia sudah lumpuh dan buta, yang tinggal hanya nafsu yang bermaharajalela kerana hati buta itu tidak lagi kuat untuk menjaga diri. Semakin banyak usia yang ditinggalkan, semakin diri meningkat dewasa, hati yang dulunya cantik dan bersih barangkali sudah sehitam punggung kuali yang di ceruk dapur itu.
Begitulah juga keadaannya hati yang setiap hari mungkin tidak terlepas dari noda-noda hitam yang terbentuk akibat dosa-dosa kita. Seandainya punggung kuali yang hitam itu sangat susah dan mengambil masa yang lama untuk diputihkan, seperti inilah sulitnya jika diri ini dipenuhi dosa. Tidak cukup satu dua macam ibadah untuk bisa menghilangkannya. Semakin banyak kita berbuat salah, semestinya lebih banyak perbuatan baik yang dilakukan untuk membuat diri kita kembali bersih.
Oleh itu, marilah kita menciptakan perbezaan dalam hari-hari yang akan dilalui selepas ini. Setiap pagi baru yang dihadapi, dimulai dengan ucapan syukur kerana dibangunkan Allah, diberikan lagi kesempatan olehNya untuk kita memperbaiki diri dan beramal kepadaNya. Pagi yang akan dimulakan dengan melihat, membaca dan memahami isi Al-Quran seterusnya solat Subuh yang didirikan sesempurnanya. Semoga ingatan kepada Allah di waktu pagi itu akan membawa kepada ingatan kepadaNya di waktu petang dan malam. Seseorang pernah memberitahu saya hebatnya hari-hari anda adalah bergantung kepada bagaimana anda memulakan pagi anda. Perbaiki diri kita setiap hari, kerana kita melakukan kesalahan juga setiap hari.
Semester 2, 2004-2005,
M3-06-02,
UNITEN

No comments: