Thursday, February 08, 2007

..........

ABDUL WASEI HARUKA KIMURA

Abdul Wasei kongsi ilmu Allah dengan masyarakat Islam Jepun

MENGENDALIKAN kelas pengajian al-Quran kepada ahli Perhimpunan Muslimah KL-Jepun pada setiap pagi Sabtu minggu keempat adalah rutin kepada Abdul Wasei Haruka Kimura, 51, sejak 22 Mac 2003.

Malah anak kelahiran kota Tokyo, Jepun ini juga adalah wakil Persatuan Muslim Jepun di Malaysia sejak 1995.

Kebetulan pada hari kunjungan penulis ke kelas kendalian beliau minggu lalu merupakan kelas akhir pengajian Hadis 40- An-Nawawi sebelum menyambung pengajian Hadis 200 dan Kaedah Tajwid. Kelas kendalian Abdul Wasei sebelum ini iaitu pada Oktober 2006 berjaya menamatkan pengajian kelas al-Quran 30 juzuk secara bertajwid.

Kata Abdul Wasei lagi, penglibatan beliau dengan aktiviti Badan Bukan Kerajaan (NGO) bermula selepas membuat kajian tentang orang Jepun yang memeluk Islam di Malaysia pada 1995 hingga 1996. Hasilnya beliau mendapati seramai 188 orang Jepun yang beragama Islam di Malaysia.

Bersyukur

“Saya cuba menghantar surat kepada mereka yang mempunyai alamat. Boleh dikatakan sepuluh peratus daripadanya yang respons. Kami cuba untuk mengadakan satu perjumpaan tetapi sayangnya, ada yang tinggal berjauhan dan ini menyukarkan hasrat saya itu.

“Semenjak dari itu hinggalah sekarang, saya aktif dan sentiasa memberi sokongan dalam apa juga aktiviti seperti program latihan, program ukhuwah, pengislaman mahupun perkahwinan. Saya gembira apabila dapat menyumbang sesuatu ke jalan Allah.

Sebenarnya saya amat bersyukur dengan ilmu yang diperoleh kerana tanpa keizinan-Nya, sudah tentu saya tidak sampai ke sini. Inilah masanya untuk saya memberi kembali apa yang telah saya peroleh sebelum ini,” cerita Abdul Wasei selepas tamat kelas beliau, tengah hari itu.

Berkongsi kenangan manis terutamanya apabila berjaya membantu sesama umat Islam, akui Abdul Wasei kejayaan menghasilkan sebuah buku asas agama Islam untuk kanak-kanak benar-benar menyentuh hatinya dan amat menggembirakan.

“Kos percetakan di Jepun agak mahal berbanding di Malaysia apatah lagi, jumlah yang hendak dicetak itu kecil. Ini memandangkan penerbitan buku-buku agama Islam di Jepun amat terhad.

“Menyedari kesukaran tersebut, saya bersama dengan seorang rakan kongsi telah mengusahakan buku pertama kami. Alhamdulillah, usaha kami berjaya sungguhpun kami terpisah oleh jarak yang jauh.

“Kini dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi serta penggunaan internet menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan Jepun menjadi semakin dekat. Inilah sumbangan kecil saya kepada umat Islam di Jepun,” kata pengurus sebuah syarikat yang membekalkan bahan mentah dan alat ganti kepada sebuah kilang besi terkemuka di Malaysia.

Bercerita kisah yang membawa kepada pengislaman serta berkongsi pengalaman yang membawanya ke Madinah untuk mendalami agama Islam, terang Abdul Wasei, beliau mengucap syahadah pada 10 Julai 1977. Pada masa itu beliau bekerja sebagai Jurutera Sistem Komputer di Jepun.

“Saya terbaca iklan tentang kelas pengajian bahasa Arab. Saya tertarik untuk mengikuti kelas malam tersebut dan berkemungkinan inilah titik permulaan pendedahannya kepada agama Islam. Semakin lama mengikuti kelas itu, saya ingin tahu lebih mendalam di sebalik agama itu.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja walaupun pada masa itu sudah lebih lima tahun berkhidmat. Selama dua tahun saya mengikuti pengajian bahasa Arab di Universiti Islam Madinah dan kemudiannya menyambut pengajian di Fakulti Dakwah dan Usuluddin selama empat tahun. Selama enam tahun pengajian, Abdul Wasei berpeluang menunaikan haji sebanyak dua kali.

Terpikat

“Ramai yang tertanya-tanya adakah saya mampu bertutur lancar menggunakan bahasa Arab. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami terdedah dengan penggunaan bahasa Arab terutamanya dalam menyiapkan laporan, membaca, berbual, peperiksaan. Malah kalau hendak bertengkar pun kena mengunakan bahasa Arab,” ujar Abdul Wasei yang merupakan orang Jepun yang pertama menamatkan pengajian dari Universiti Islam Madinah.

Ditanya apa yang membawanya ke Malaysia, kata Abdul Wasei dia mengenali Malaysia sewaktu masih menuntut di Arab Saudi lagi. Pada cuti musim panas, beliau kembali ke Jepun sebelum melawat kawan yang tinggal di Pattani, Tahailand. Pada masa itu umat Islam sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.

Semenjak dari saat itu, Abdul Wasei mengakui, hatinya mula terpikat dengan suasana kehidupan orang di Asia Tenggara. Malah sehingga beliau pernah menjangka akan berkahwin dengan wanita dari benua ini suatu hari kelak.

Jodoh pertemuan adalah ketentuan dan takdir Ilahi. Itulah yang berlaku kepada Abdul Wasei di mana pada 1986 telah mendirikan rumah tangga dengan wanita Malaysia bernama, Azni Mohd. Aziddin. Kini pasangan ini telah dikurniakan empat cahaya mata antara usia 20 hingga 10 tahun.

“Saya berhijrah ke Malaysia pada Januari 1995 dengan niat dan tujuan yang baik. Pada masa itu anak sulung kami berada di dalam darjah satu. Saya melihat Malaysia adalah sebuah negara membangun dan kehidupan rakyatnya yang berbilang bangsa dalam suasana aman dan harmoni. Saya mahu anak saya dibesarkan di negara indah dan unik ini. Itulah sebab utama saya datang ke Malaysia.

“Selain itu, memandangkan Malaysia yang sedang pesat membangun dan ini menandakan banyak kemungkinan yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hakikatnya, saya mempunyai banyak idea. Sebelum berlepas ke Malaysia, saya ada terfikir membuat kerja-kerja berkaitan penerbitan memandangkan di sini kosnya agak berpatutan.

“Apatah lagi, buku-buku agama terutamanya tentang agama Islam amat terhad dalam pasaran buku-buku di Jepun,” cerita Abdul Wasei yang juga pernah bekerja sebagai penganalisa komputer di agensi perlancongan pada 1996. Pada masa itu beliau baru berpindah ke Kuala Lumpur sebelum mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada 2001 selepas bertahun-tahun memohonnya iaitu sejak Jun 1995.

Meskipun bahasa Arab menjadi pembuka tirai kepada asas pengetahuan Abdul Wasei tentang Islam namun katanya semakin jauh beliau mendalami Islam, beliau tertarik dengan konsep tauhid dalam ajaran Islam. Di dalam agama Islam, Allah adalah Satu.

Berbeza dengan kebanyakan masyarakat Jepun yang tidak mempunyai apa-apa pendidikan agama. Agama seperti Shintoism, Buddha, Kristian dan agama-agama yang kecil adalah antara agama anutan segelintir orang Jepun. katanya lagi di Jepun mendaftar sesebuah agam itu amat mudah hanya memerlukan tempoh dua tahun sahaja.

Menyentuh tentang Perhimupan Muslimah KL-Jepun kata Abdul Wasei, ia ditubuhkan pada 2003 dengan penganjuran beberapa kelas pengajian seperti di atas. Perhimpunan kaum Muslimah ini diketuai oleh Fitrah Junko Hirose memandangkan beliau tinggal berdekatan Kuala Lumpur dan Selangor. Kebanyakan ahli-ahli perhimpunan ini adalah penduduk tempatan manakala sebahagian yang lain mengikuti suami yang bekerja di Malaysia.

Kecintaan Abdul Wasei kepada bumi Malaysia sehinggakan beliau meminta penulis agar mengingatkan masalah yang bakal dihadapi kerajaan sekali gus rakyat Malaysia, seandainya perkara ini dipandang remeh.

Sumber : http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

....masuk Islam xyah tukar nama. xde apa dgn nama~ tp memanggil nama ibarat doa. nama pjg2 tp org suke pggl y pendek.. so nk kasi nm anak bg sepatah perkataan je mcm anak sedara hafizuddin. bdk2 ofis pggl mimah.. tp kot lelama pggl mimi aku pn xtau. suke hatila.. knape xnk pggl fauzatul ye? dk2 sekolah rilek je~

p/s : bile nk smbg bljar bhs Arab..

No comments: